Ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang terbabit dalam cubaan merasuah Sultan Johor dibebaskan daripada tahanan reman hari ini dengan jaminan SPRM. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang terbabit dalam cubaan merasuah Sultan Johor dibebaskan daripada tahanan reman hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman membenarkan suspek dibebaskan hari ini selepas SPRM tidak mengemukakan permohonan melanjutkan reman.

Lelaki berusia 54 tahun itu sebelum ini direman selama lapan hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa dengan meminta dan menerima rasuah untuk kepentingan peribadi.

Pada 30 Mac lalu, lelaki berkenaan menyerah diri kepada SPRM selepas beberapa jam diarahkan berbuat demikian oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim mendedahkan maklumat kepada SPRM berhubung wujud orang tengah yang cuba merasuah baginda mengenai penganugerahan darjah kebesaran dengan tawaran RM2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 12:03 PM