Rakan dan ahli keluarga dua nelayan yang hilang berkumpul di jeti Pangkalan Nelayan Kesang. - Foto Ihsan Pembaca
Ibrahim Isa

Tangkak: Dua nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dipercayai karam dipukul ribut pada kedudukan 1.5 batu nautika dari Pangkalan Nelayan Kesang, semalam.

Kali terakhir dua sahabat itu, Rizalman Baba, 42 dan Johari Abu Bakar, 46, dilihat bersama kira-kira jam 11 malam, ketika keluar ke laut dari jeti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, kehilangan mangsa disedari rakan selepas mendapati bot dinaiki mereka belum tiba di jeti pagi ini.

“Kami difahamkan mangsa biasanya pulang sekitar 8 pagi namun mereka masih belum tiba di jeti berkenaan walaupun sehingga 9 pagi.

“Berikutan itu, rakan mangsa bersama penduduk berusaha mencari mangsa namun gagal dan membuat laporan polis kira-kira 1.40 petang.

“Bertindak atas laporan itu, polis memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 2 petang," katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati ada dua bot lain di tempat kejadian untuk memukat ikan namun sempat pulang ke jeti apabila mendapati cuaca buruk pada 3.30 pagi.

Katanya, SAR diadakan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kuala Linggi, Pasukan Polis Marin (PPM) Muar dan enam perahu serta tiga bot nelayan membabitkan kawasan perairan di sekitar Kuala Sebatu sehingga muara Sungai Muar.

"Setakat ini, gerakan mencari hanya menemui pukat mangsa kira-kira 1.5 batu nautika dari jeti.

"Operasi SAR dihentikan pada 7.30 malam tadi dan akan bersambung pagi esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 11:09 PM