BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang ‘ulat parkir’ didenda RM700 atau penjara empat hari oleh Mahkamah Trafik di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan tanpa kuasa sah mendesak pemandu meletakkan kenderaan di sini, semalam.

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap M Letchumanan, 30, kerana mendesak seorang pemandu kereta untuk meletakkan kenderaan dan menuntut pembayaran wang di Jalan Doraisamy di sini, pada 11.30 malam.

Bapa dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan.

“Saya penanggung utama keluarga, saya mempunyai dua anak yang masih kecil, saya juga menjaga ibu bapa yang sudah tua," katanya.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu ditangkap polis semasa dia menghampiri dan meminta seorang pemandu kereta meletakkan kenderaannya di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:00 PM