Nor Azmi (tiga dari kanan) menunjukkan antara barang rampasan daripada sindiket pecah rumah di daerah itu. FOTO Mohd Shukor Amin
Mohd Shukor Amin
am@hmetro.com.my


Sabak Bernam: Sindiket pecah rumah di daerah ini lumpuh selepas polis menahan lima lelaki warga asing pada 23 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, sindiket dikenali sebagai Geng Supianto itu dipercayai terbabit dalam 16 kes jenayah pecah rumah di sekitar daerah itu dan dua daerah lain antara Januari hingga Mac lalu.

Beliau berkata, hasil risikan dan maklumat pihaknya melakukan serbuan pada 23 Mac lalu di sebuah rumah sewa kumpulan berkenaan di Sekinchan.

"Hasil serbuan di rumah itu, polis berjaya menahan dua suspek berusia 28 dan 41 tahun.

"Susulan tangkapan dua suspek itu, polis berjaya membongkar kegiatan itu yang turut didalangi tiga lagi suspek lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga ahli kumpulan itu kemudiannya dicekup polis di rumah sewa mereka di Tebuk Pulai, dekat sini.

Nor Azmi berkata, antara barangan yang dirampas adalah televisyen, komputer riba, telefon bimbit, jam tangan dan motosikal dengan anggaran nilai RM80,000.

Menurutnya, semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 7:38 PM