Mohamad Adzib pada sidang media di pejabat MAIS hari ini. FOTO Muhammad Sulaiman
Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mengumumkan pemindahan urusan agihan dan bantuan untuk asnaf mualaf kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) mulai 1 April lalu.

Pengerusi MAIS Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, pemindahan urusan agihan dan bantuan bertujuan bagi penyelarasan dan penjajaran semula fungsi serta aktiviti asnaf mualaf.

"Untuk tahun ini agihan dan bantuan untuk asnaf mualaf berjumlah RM45 juta.

"Pemindahan ini bagi mengatasi masalah pertindihan tugas serta menambah baik sistem perkhidmatan pelanggan sedia ada terutama kepada asnaf mualaf di Selangor.

"Urusan agihan dan bantuan kepada asnaf mualaf yang sebelum ini dikendalikan MAIS di 10 pejabat Agama Islam Daerah di seluruh Selangor akan diselaraskan serta diuruskan oleh LZS yang mempunyai 27 cawangan di seluruh negeri," katanya pada sidang media di sini tadi.

Mohamad Adzib berkata, pemindahan itu merangkumi pengurusan agihan, bantuan kebajikan dan pendidikan.

Bagaimanapun katanya, proses pendaftaran dan pengislaman masih diuruskan MAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah selaras dengan peruntukan di dalam enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 12:45 PM