KEADAAN bas ekspres selepas bergesel dengan treler. FOTO ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


Kuala Lipis: Pemandu bas maut dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan treler di Lebuhraya Merapoh mengala ke Kota Bharu di Kampung Kubang Rusa di sini, 2.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu dua penumpang dan pemandu pertama bas ekspres cedera manakala 35 penumpang yang lain selamat selepas bas ekspres dua tingkat dinaiki mereka bergesel dengan treler yang diletakkan di tepi jalan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis ketika dihubungi berkata, mangsa yang duduk bersebelahan pemandu pertama disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas pihaknya tiba 40 minit kemudian.

"Tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut dan pihak bomba berjaya mengeluarkan semua penumpang lain dengan selamat," katanya.

Jurucakap itu berkata, siasatan lanjut diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada 4.32 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 10:00 AM