ANGGOTA TUDM mengusung jasad lelaki Romania, Stelian Mevlit yang meninggal duni dalam bilik enjin kapal dagang. FOTO Mohd Adam Arinin
Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Jurutera Romania meninggal dunia selepas dilaporkan pengsan dalam bilik enjin kapal dagang di perairan barat laut Labuan, semalam.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Mevlit Stelian, 36, ditemui tidak sedarkan diri oleh anak kapal lalu sebelum pasukan keselamatan negara dihubungi.

Difahamkan, ketika kejadian kapal dagang berpusat di Singapura itu dalam pelayaran ke pelabuhan Yu Lian, Shekou, China.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, anak kapal menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk bantuan udara dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar helikopter ke kapal terbabit bagi bantuan kecemasan.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya di sini, malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, APMM menerima panggilan kecemasan pada 9.30 pagi sebelum memberitahu TUDM.

“TUDM menghantar helikopter PC725 untuk mengambil mangsa dari kapal yang berada di 79 batu nautika dari Labuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:00 AM