Reuters

Manila: Rating kepercayaan terhadap Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menurun sedikit dalam satu tinjauan pendapat yang dijalankan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Penurunan itu dipercayai berpunca daripada kempen memerangi dadah yang dilihat banyak membunuh suspek dadah di kawasan setinggan yang miskin.

Sebanyak 76 peratus daripada 1,200 rakyat Filipina yang ditemubual firma Pulse Asia memberitahu, mereka mempercayai pemimpin itu, jatuh tujuh mata berbanding Disember 2016.

Rating prestasi untuk suku pertama tahun ini adalah 78 peratus, jatuh berbanding 83 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Pengarah kajian Pulse Asia, Ana Maria Tabunda berkata, Manila dan Luzon, pulau terbesar di negara itu, menunjukkan kejatuhan besar rating kepercayaan dan prestasi Duterte.

Bagaimanapun, rating Duterte masih tinggi di kampung halamannya di wilayah Davao.

Tinjauan pendapat itu dijalankan secara bersemuka dari 15 hingga 20 Mac, kira-kira seminggu selepas polis menyambung operasi antidadah di kawasan setinggan.

Penganalisis di Institut Perubahan Politik dan Pilihan Raya, Earl Parreno berkata, tinjauan pendapat itu dipengaruhi pembangunan sosial, politik dan ekonomi pada suku pertama, terutama sekali kempen antidadah.

“Penduduk di komuniti miskin, tempat kebanyakan pembunuhan ini berlaku secara jelas tidak gembira dengan kempen Duterte itu kerana bimbang seseorang yang rapat dengan mereka mungkin menjadi mangsa seterusnya.

“Kelas sosial yang lebih atas pula memberi rating yang lebih baik dan menyokong kempen memerangi dadah kerana mereka berasa lebih selamat daripada jenayah,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 7:28 AM