MOHD Azizi (kiri ) dan Hambalie dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan lima sebatan. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Dua sahabat dihukum penjara lima tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan, tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Mohd Azizi Zaruddin, 32, dan Hambalie Mohamed, 30, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan dari tarikh ditangkap pada 29 November 2016.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan pisau terhadap Mohamad Nor Fahmy Mat Ali dan melarikan peralatan bertukang dengan nilai keseluruhan RM3,000 di tepi jalan di Kampung Padang Pak Amat, 10.40 malam, 27 November 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 1:30 PM