COSTA (tengah) harap rakan sepasukan fokus aksi penting menentang Manchester City esok. FOTO AFP
Reuters

London: Penjaring terbanyak Chelsea, Diego Costa percaya pendahulu Liga Perdana Inggeris itu boleh secara efektif menamatkan impian kejuaraan Manchester City apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stamford Bridge, awal pagi esok.

Senario alternatif pasukan tangga keempat City menang dan membantu Tottenham merapatkan jurang di puncak kepada empat mata langsung tidak difikirkan pemain kebangsaan Sepanyol itu.

Tuan rumah kini tujuh mata di depan Spurs dan 11 di depan City, yang seri 2-2 di Arsenal Ahad lalu selepas dua kali mendahului.

Namun, kekalahan mengejut 1-2 di tangan pasukan bawahan Crystal Palace Sabtu lalu memberi harapan kepada pasukan lain bahawa Chelsea mungkin mengalami kemerosotan.

Kekalahan pertama di laman sendiri sejak September lalu juga menjadi ingatan buat pasukan Antonio Conte.

“Kini bukan masanya untuk membiarkan kami terus merudum,” kata Costa, yang sudah menyumbat 17 gol dalam liga musim ini namun hanya empat gol mampu disumbangnya sejak Krismas.

“Kami patut terus fokus dan memikirkan mengenai aksi berikutnya kerana ia amat penting.

“Perlawanan menentang City adalah pertarungan enam mata kerana jika kami menang... mereka akan (secara efektif) terkeluar daripada saingan manakala kami terus memiliki kelebihan.”

Kedua-dua pasukan akan mengimbau aksi tahun lalu dengan Chelsea menang 3-1 di Etihad pada Disember lalu manakala City menang 3-0 di Stamford Bridge April lalu.

Sergio Aguero melakar hatrik ketika itu dan turut menyumbat gol bertemu Arsenal, ketika pengurus Pep Guardiola masih berharap.

“Kami tahu apa yang perlu dilakukan menentang Chelsea. Kami kembali ke Manchester untuk mempersiapkan diri dan kemudian kembali ke London,” ujar pengendali Sepanyol itu, pasukannya hanya kalah sekali dalam enam aksi terakhir Liga Perdana di London.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 8:08 AM