Fnatic kini mempunyai anggota yang cukup. - Foto ihsan Fnatic
Hazril Md Nor
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pasukan e-sukan negara, Fnatic mengumumkan kemasukan tiga ahli baru, Galvin Kang Jian Wen (Meracle), Kim Seon-yeop (QO) dan Djardel Jicko B Mampusti (DJ) bagi menghadapi dua kejohanan Dota 2 yang akan disertai dalam masa terdekat.

Pengurus Fnatic, Khor Wei Soon berkata, keputusan itu dibuat selepas tempoh dua bulan mencari pemain berpengalaman untuk menggantikan posisi Mushi dan In Your Dream.

"Kami memilih untuk tidak bertanding di Kiev Major kerana perlu mencari bakat baru menggantikan posisi ini.

"Saya bersyukur hari ini Fnatic berjaya melengkapkan skuad dengan kehadiran tiga pemain terbaik di rantau Asia Tenggara setakat ini.

"Mereka baru tiba di Kuala Lumpur untuk memulakan sesi latihan bersama Febby dan Ohaiyo," katanya kepada Harian Metro di sini, malam tadi.

Menurutnya, Fnatic akan mampu menyinar kembali dalam dua kejohanan itu.

“Kami perlu mengharungi pusingan kelayakan untuk kejohanan seterusnya dan saya yakin mereka akan bersedia dengan latihan mencukupi.

"Saya sangat berharap Fnatic dapat membuat kemunculan di arena antarabangsa seperti sebelum ini. Terima kasih atas sokongan dari peminat dan anda semua," katanya.

Meracle dari Singapura akan bermain sebagai posisi 'carry', DJ dari Filipina sebagai posisi pembantu manakala QO dari Korea Selatan melengkapkan skuad itu dengan peranan sebagai pemain tengah.

DJ sebelum ini pernah menolong Fnatic mendapat tempat keempat dalam kejohanan The International 2016 dan kemudian membuat keputusan untuk kembali menyertai pasukan negara asalnya iaitu Execration.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 12:07 AM