Che Ghazali (tengah) menunjukkan sebahagian ubat batuk dan daun ketum dirampas di sebuah rumah di Kampung Padang Patani, Langkawi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 2,536 botol ubat batuk bersama 87.0 kilogram (kg) daun ketum bernilai hampir RM19,000 menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Patani di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, berkata, serbuan jam 7 malam itu turut merampas wang tunai RM12,285.

"Berdasarkan maklumat awam sepasukan angggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) membuat serbuan di rumah terbabit dan menahan seorang lelaki berusia 43 tahun.

"Pemeriksaan lanjut menemui 2,536 botol ubat batuk yang diisi dalam beberapa kotak dan 436 bungkusan plastik yang mengandungi 87.0 kg daun ketum," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, sebentar tadi.

Che Ghazali berkata, siasatan awal mendapati daun ketum itu dijual dengan harga RM40 sekilogram, manakala RM6 bagi setiap botol ubat batuk kepada pelanggan di sekitar Mukim Ulu Melaka di sini.

"Lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Malah ujian saringan air kencing ke atas suspek turut mendapati dia positif dadah ganja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 4:08 PM