Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Dua bot dinaiki enam nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah kerana melanggar syarat lesen menangkap siput, hari ini.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, dua bot nelayan kelas A itu ditahan anggotanya 0.8 batu nautika dari pantai Yan, 1.30 pagi tadi.

Beliau berkata, anggotanya mengesan dua bot nelayan itu dalam keadaan mencurigakan dan menahan bot itu kira-kira lima minit kemudian.

"Kesemua nelayan itu berusia antara 18 sehingga 45 tahun dan hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot melanggar syarat lesen kerana beroperasi di luar waktu yang ditetapkan.

"Ini kerana Jabatan Perikanan hanya membenarkan mereka beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Kamal berkata, berikutan itu hasil tangkapan kedua-dua buah bot siput itu dianggarkan berjumlah 900 kilogram turut dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 12:14 PM
BOT nelayan yang ditahan kerana melanggar syarat lesen menangkap siput, awal pagi tadi. FOTO ihsan APMM