Tertuduh (kiri) diiringi anggota SPRM di Mahkamah Khas Rasuah Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


Seremban: Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Azman Othman, 46, membuat semua pengakuan di hadapan Hakim Fathiyah Idris sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Azman didakwa menerima rasuah berjumlah RM10,000 bagi melancarkan proses tuntutan bayaran bulanan dikemukakan syarikat SSMY Sutera Enterprise berkaitan kerja mencuci dan membersih bangunan di Paya Indah Wetlands, Jabatan Perhilitan, Dengkil, Selangor.

Tertuduh didakwa menerima RM2,000; RM3,000; RM1,000; RM1,000, RM2,000 dan RM1,000 daripada Omri Omar secara dalam talian di bank di Jalan Tuanku Antah, di sini bermula 15 April hingga 19 Oktober 2015.

Oleh demikian dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Fathiyah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM20,000 dan kes disebut semula pada 5 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurdiyanah Mohd Nawawi dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Baharudin Ahmad Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 11:42 AM