Tiga rumah di Blok A PPR Kerinchi, Jalan Pantai Permai, terbakar 9 pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tiga rumah di Blok A Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Jalan Pantai Permai, di sini, terbakar 9 pagi tadi.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9 pagi berhubung kejadian itu sebelum 29 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Seputeh dan Hang Tuah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati api sedang marak di sebuah rumah di tingkat satu sebelum ia merebak ke dua rumah masing-masing di tingkat dua dan tiga blok berkenaan.

"Kami mengambil masa lebih 20 minit untuk mengawal sepenuhnya kebakaran itu. Semua penghuni ketiga-tiga rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri," katanya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 11:18 AM