AZEAN mahu bantu wanita menjahit sendiri.
SEBAHAGIAN daripada pola jahitannya.
Kusyi Hirdan

Hati berbunga-bunga saat mahu bertemu Azean Abdul Latip, 39, kerana teruja mahu mendengar ceritanya memulakan suatu perniagaan yang unik dan mungkin kita tidak terfikir.

Daripada pertemuan singkat kami, dapat disimpulkan segalanya mengenai ilmu, usaha, pembaharuan dan keberanian. Daripada situ lahirlah jenama Azie D’ Closet.

Anak kelahiran Kampung Pasir, Hulu Klang ini mengakui segalanya bermula pada minat awal yang timbul ketika zaman sekolah menengah.

“Sejak kecil, emak menjahit sendiri terutama baju kurung tradisional. Di sekolah dulu, ada belajar menjahit dan terbitlah minat. Di sekolah juga saya diajar membuat baju Kedah.

“Di rumah pula curi-curi mencantumkan baju yang emak sudah potong. Dari situ emak lihat minat saya pada jahitan,” cerita Azean.

Menggunakan nama panggilan Azie yang lebih dekat dengan pengikutnya, ibu muda ini sentiasa belajar dan mencuba. Tidak kisah melakukan kesilapan kerana dari situ dapat diperbetulkan demi mendapat hasil yang lebih sempurna.

Sebenarnya dia bermula kerana ada permintaan. Berkahwin pada usia 19 tahun, menjahit digunakan sebagai cara membantu ekonomi keluarga.

“Sebelum itu saya mengambil tempahan pakaian seperti biasa. Orang datang ke rumah dan menempah baju. Kemudian saya meningkat pula ke tempahan secara dalam talian sekitar 2014.

“Biasanya jahitan saya baju kurung tradisional dan moden. Kemudian saya belajar mengenai pola pakaian dan bermula 2015, orang mula menempah pelbagai pola pakaian daripada saya,” katanya.

Azie awalnya suka berkongsi tutorial jahitan di laman sosial, sekadar mahu bercerita aktiviti menjahit kegemarannya. Dari situ pengikutnya mula meningkat.

Pola pertama yang dijual Azie ialah pola leher kerana itulah produk pertama diminta pelanggannya.

Pola ialah potongan kertas ukuran bahagian pakaian untuk dijadikan contoh supaya tidak tersalah ketika memotong kain. Dalam pembuatan pakaian, sebelum memotong kain, pola pakaian perlu dibuat terlebih dulu.

Setiap gaya pakaian memiliki polanya sendiri sama ada baju kurung, gaun, seluar, blaus, kemeja dan pelbagai jenis pakaian lain. Daripada pola ini terbentuklah pakaian.

Pola dilukis berdasarkan ukuran leher, ukur lilit badan, pinggang, dada, panjang lengan, tangan, dan punggung, labuh baju, lebar dan pelbagai ukuran lain bergantung kepada rekaan yang mahu dihasilkan.

“Sebenarnya, niat saya hendak membantu mereka senasib. Mereka yang mempunyai ramai anak tapi tak mampu untuk belajar menjahit, jadi dengan adanya pola ini mereka tetap dapat menjahit pakaian di rumah. Untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Ibu kepada enam anak berumur dari empat hingga 18 tahun ini tahu bagaimana puasnya dapat memakai pakaian yang dijahit sendiri. Tambahan pula bagi mereka yang sukar mendapatkan ukuran baju sesuai dan sedap dipakai. Pola memudahkan mereka mencapai impian.

Sehingga kini Azie sudah lupa jumlah pelanggan yang mendapatkan khidmat pola pakaian daripadanya kerana ia sudah mencecah ke angka ribuan. Di Facebook ‘Tempahan Pakaian Azie D’Closet’ menjadi tempat dia dan pelanggan berinteraksi dan berkongsi ilmu.

“Setakat ini belum ada yang mengadu pakaian mereka tidak menjadi. Lagipun, saya sentiasa berinteraksi dengan mereka. Sekiranya ada bahagian yang sukar dijahit, saya bimbing mereka sampai menjadi,” katanya.

Mengenang antara pelanggan awalnya, teman Azie sendiri yang menempah pola kerana mahu menjual pakaian secara dalam talian. Selepas itu semakin hari pelanggannya makin meningkat dan mereka menempah pola sama ada untuk diri sendiri, keluarga atau perniagaan.

Kata Azie, kelebihan pola, ia mudah digunakan kerana kertasnya begitu mudah diangkat dan ditekap. Dengan mendapatkan pola ukuran badan sendiri contohnya, anda tahu bahagian yang perlu diubah suai mengikut ukuran sendiri. Kepuasannya pasti terserlah.

Azie sendiri seronok berniaga pola dan sentiasa mempelajari rekaan terbaharu demi memenuhi permintaan yang sentiasa berubah.

“Membuat pola pakaian bukanlah mudah dan perlu betul-betul memahami dan menimba pengalaman. Menjahit lebih senang. Dengan adanya pola ini ramai yang boleh menjahit pakaian sendiri dan ahli keluarga,” katanya.

Tentu sahaja Azie tidak menyangka ilmu pembuatan pola yang dipelajarinya kini menjadi perniagaan utamanya bersama keluarga. Paling penting dia sangat berpuas hati dapat membantu orang lain mencapai impian. Dia sendiri gembira kerana kerjayanya itu membuatkannya tidak perlu meninggalkan anak.

“Anak sentiasa di depan mata, itu yang paling membahagiakan bagi seorang ibu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 11:11 AM