Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Walaupun gagal muncul juara peringkat ketiga Tour of Thailand, Harrif Saleh gembira mampu menaiki podium selepas gagal melakukannya pada dua peringkat awal perlumbaan berstatus 2.1 dalam kalendar Jelajah Asia itu.

Lebih menggembirakan kejayaan muncul naib juara peringkat ketiga dari Phitsanulok ke Uttaradit sejauh 111 kilometer semalam menobatkan dirinya selaku pelumba terbaik kategori ASEAN.

“Walaupun tidak menang ia memberikan motivasi yang amat tinggi kepada saya selepas berehat panjang akibat kecederaan di Le Tour de Langkawi (LTdL) hujung Februari lalu.

“Kejayaan ini turut membuktikan saya berada dalam landasan terbaik untuk mencapai kemuncak prestasi di Sukan SEA nanti,” jelasnya.

Pelumba dari Sepanyol, Jon Aberasturi Izaga mewakili Team Ukyo memenangi perlumbaan manakala pelumba KSPO Seo Joon Yong meraih tempat ketiga.

Lebih menggembirakan Harrif, dua pelumba yang berkemungkinan mencabarnya pada Sukan SEA, Thanuwat Sanikwathi (Thailand) dan Nguyen Thanh Tam (Vietnam) terpaksa akur di kedudukan keempat dan kelima.

“Secara tidak langsung ia memberikan motivasi kepada saya apabila meraih kedudukan lebih baik berbanding mereka.

“Saya masih belum puas. Saya akan terus cuba untuk mengatasi mereka selain mengintai kelemahan dan kekuatan yang dimiliki dua pelumba itu,” katanya.

Pemenang dua emas Sukan SEA Singapura itu melaungkan keyakinan untuk terus mencabar di Tour of Thailand dengan meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya satu daripada baki tiga peringkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 8:37 AM