Zamani (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen mandat antara Hazwan Alif (dua dari kiri) dan Mohd Izhar.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) komited untuk mencapai jumlah transaksi dana berjumlah RM70 juta menerusi Platform Akaun Pelaburan (IAP) tahun ini bagi membantu segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Strategi Bank Islam Hizamuddin Jamalluddin berkata, IAP adalah platform bermanfaat bagi perniagaan untuk merealisasikan projek dan usaha niaga mereka.

Beliau berkata, Bank Islam aktif mencari syarikat baru dengan projek berpotensi untuk mengoptimumkan peranan pengantara dalam menguruskan dana bagi kepentingan kedua-dua pihak pelabur dan syarikat yang dibiayai.

“Setakat ini, jumlah transaksi di bawah IAP bernilai RM20 juta dan kami yakin ia akan bertambah kepada RM300 juta dalam tempoh tiga tahun dan peningkatan sasaran ini bagi menawarkan kadar yang mencukupi kepada pelabur untuk mendapatkan akses pelaburan dalam pembiayaan aset patuh syariah.

“Dana yang dikumpul melalui IAP ini inovasi terkini dalam industri kewangan Malaysia dan Bank Islam akan terus memberi fokus kepada PKS untuk menggalakkan mereka ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani mandat antara Bank Islam dan CMC Group Sdn Bhd (CMC) untuk fasiliti Akaun Pelaburan Terhad (RIA) CMC melalui IAP.

Pada majlis itu, CMC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Hazwan Alif Abdul Rahman manakala Bank Islam diwakili Pemangku Ketua Pasaran Modalnya Mohd Izhar Pawanchek sambil disaksikan Pengerusi Bank Islam Datuk Zamani Abdul Ghani.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IAP Integrated Sdn Bhd Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Bank Islam yang dilantik sebagai bank penaja berhasrat untuk memperoleh pelaburan RM12 juta bagi membiayai sebahagian projek integrasi telekomunikasi CMC bernilai RM23 juta untuk Ho Chi Minh City Urban Railway System, Vietnam.

Hizamuddin berkata, pihaknya menetapkan tempoh kempen bagi transaksi RIA akan berlangsung selama empat minggu bermula pertengahan bulan ini manakala sasaran untuk memuktamadkan transaksi pada pertengahan Mei ini.

Sementara itu, CMC berhasrat untuk tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 4:14 AM