PRIME Domestic dianggotai (dari kiri) Joe, Aweera, Hillary, Fauzi dan Ainol.
WALAUPUN gementar, Aweera berjaya membuktikan dia penyanyi berbakat besar.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Peminat yang mengenali Joe tentunya tahu kehebatan pemain gitar ini mencorakkan persembahan muzik Wings sehingga kekal bertahan sebagai band rock terunggul.

Disebabkan kehebatan itulah, Joe terus disanjung peminat walaupun kini sudah mengembangkan sayap bersama band terbarunya, Prime Domestic.

Salam perkenalan yang dimulakan Joe bersama anggota Prime Domestic iaitu Hillary (gitar), Fauzi (bass), Ainol (dram) dan Aweera (penyanyi) dalam ‘showcase’ serta pelancaran single di House@GTower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam kelmarin ternyata menerima respons positif peminat.

Hampir 800 peminat hadir menyaksikan persembahan mereka sehingga menjadikan ruang yang sememangnya sederhana begitu sesak dan padat.

Tepat jam 10.30 malam, persembahan dibuka dengan ‘warm up’ lagu instrumental iaitu Ilusi Intonasi.

Kemunculan Aweera dengan lagu Halloweed By The Name daripada Iron Maiden nyata menggamatkan suasana. Malah, ramai yang tidak menyangka Prime Domestic bakal membuka persembahan dengan lagu ‘cover’ daripada Iron Maiden itu.

Aweera kemudian menyampaikan lagu Kau Masih Berdegil dan Gemuruh yang dipetik daripada album gabungan Wings serta Search iaitu Double Trouble. Awie sendiri jarang-jarang membawa lagu Kau Masih Berdegil bersama Wings.

Suasana ketika ini sudah mula panas apabila ada dalam kalangan peminat turut sama menyanyi bersama Aweera.

Gandingan dua ‘guitar hero’, Joe dan Hillary paling dinanti-nantikan.

Petikan gitar yang padu daripada mereka membuatkan peminat membayangkan seolah-olah persembahan berlangsung di stadium yang besar.

Kehebatan persembahan Prime Domestic terus diperlihatkan menerusi rangkaian lagu ‘back catalog’ Wings dan Search iaitu Lena Diulit Intan serta Meniti Titian Usang.

Ramai yang teruja melihat Hillary yang juga bekas pemain gitar Search melakukan solo lagu Meniti Titian Usang yang diciptanya dulu.

Selepas itu, Joe membawa peminat menikmati tiga single terbaru mereka iaitu Tekno Dewata, Satukan Impian dan Sedingin Pluto.

Ternyata single ini mampu diterima baik peminat. Dalam bahasa mudahnya, lagu Sedingin Pluto ciptaan Joe dan lirik Ishmael MS adalah lagu sasaran untuk dimainkan di stesen radio.

Selain itu, peminat turut dihiburkan dengan lagu medley istimewa Wings dan Search iaitu Cinta Sepi, Kau Pergi, Anugerah, Sebatang Tongkat Untuk Berdiri dan Ranjang Mawar.

Tidak terkecuali lagu Search dan Wings yang lain yang seperti Langit Dan Bumi, Alam Barzakh, Ingatkan Dia, Fantasia Bulan Madu, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Sejati dan Pasti.

Menariknya, mereka yang hadir dapat menyaksikan petikan gitar asal Hillary menerusi lagunya pada zaman awal bersama Search.

Selain padat dengan penonton, persembahan ini turut berjaya dihadiri artis popular lain seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk Zainal Abidin, Ella, Bagio, Yazit Search, Awang BPR, Acong Sweetchild dan ramai lagi bagi memberikan sokongan moral.

Aweera gementar

Biarpun awalnya kemampuan Aweera diragui, dia berjaya membuktikan pemilihannya sebagai penyanyi Prime Domestic satu langkah tepat.

Aweera memberikan momentum yang luar biasa dalam persembahan yang berlangsung hampir dua jam itu.

“Mungkin semangat ini lahir menerusi sokongan rakan artis yang hadir. Bukan mudah sebenarnya nak hafal lirik lagu ini tapi saya berjaya lakukannya dengan bantuan semua.

“Terus terang saya masih anggap ini satu mimpi kerana dapat bersama idola saya di atas satu pentas. Wings dan Search adalah idola saya dan kita dapat lihat genre ini kekal diminati sehingga kini,” katanya.

Aweera mengakui, biarpun sedang menghasilkan album solo, komitmennya terhadap Prime Domestic adalah 100 peratus.

Joe pula mengakui sambutan yang diterima mereka sememangnya di luar jangkaan.

“Kami memang tak jangka sambutan begini yang akan diterima. Bayangkan seawal jam 8 malam lagi, barangan cenderahati kami sudah habis dijual.

House@GTower pula dipilih kerana kami mahukan kelainan dan mencabar diri kerana ramai yang tak tahu tempat ini,” katanya.

Menurutnya, selepas ini Prime Domestic akan kembali semula ke studio untuk merakam album selain merancang persembahan seterusnya.

“Kami akan teruskan dengan sesi jelajah kelab di seluruh negara. Dari situ kami akan ada perunding untuk hasilkan satu persembahan dalam skala yang lebih besar.

“Memang ada perancangan untuk buat konsert, tapi kami perlukan lebih masa kerana peminat belum tahu lagu Prime Domestic. Biarlah nama kami kukuh sebelum buat sesuatu yang lebih besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 3:21 AM