Agensi

Madrid: Seorang matador kini dalam kritikal selepas cedera parah akibat ditanduk lembu seberat lebih 450 kilogram di leher, muka dan lidah ketika satu pertandingan hari ini.

Daniel García Navarrete, 23, ditanduk beberapa kali oleh lembu ganas itu di gelanggang terbesar Sepanyol, Las Ventas di Madrid, disaksikan lebih 10,000 penonton,

Doktor kemudian mengesahkan dia terkena tandukan empat kali, dua kali di leher dan dua lagi menembusi rahangnya.

Rakaman video menunjukkan matador itu dilambung ke udara dan sebaik jatuh ke tanah, lembu berkenaan menerkam dan menyondol sambil menanduknya beberapa kali.

Penonton kedengaran menjerit menyaksikan kejadian itu dan matador terlatih berkejar masuk ke gelanggang bagi mengalihkan perhatian lembu berkenaan.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan sedalam 20 sentimeter dan 15 sentimeter yang menembusi langit atas dalam mulutnya serta pangkal lidah.

Dia juga mengalami patah tulang selangka serta luka lain pada tubuhnya dan doktor menganggap lelaki itu bernasib baik kerana masih hidup.

Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas seorang matador di Mexico, Antonio Romero, cedera parah akibat duburnya ditusuk sedalam 28 sentimeter oleh tanduk lembu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 8:09 PM
Daniel García Navarrete, 23, cedera parah di leher dan muka.