MOYES (kanan) cemerlang di Sociedad.

Barcelona: Jurulatih Real Sociedad David Moyes memuji keazaman pasukannya bertahan selepas melakar kejutan 1-0 ke atas Barcelona pada aksi La Liga Sepanyol, awal pagi semalam.

Moyes tidak begitu ceria tahun lalu, namun kini tersenyum puas apabila pasukannya bertahan sebelum menundukkan Barca selepas mendahului pada minit kedua menerusi gol sendiri Jordi Alba.

Pengendali dari Scotland itu meneraju Manchester United tidak sampai semusim sebelum dipecat April lalu dan berdepan tugas getir apabila bersetuju mengambil alih di Sociedad yang bergelut mengelak daripada tersingkir ke liga bawahan November lalu.

Banyak keraguan dalam kalangan media tempatan mengenai kekurangan pengalamannya terhadap bola sepak Sepanyol dan kegagalannya bertutur bahasa itu, namun beliau bermula dengan mantap, membentuk pasukannya dari pertahanan dan kini hanya kalah satu perlawanan.

“Saya amat gembira meraih keputusan ini, ia amat penting dan satu perlawanan yang amat sukar,” jelas Moyes.

“Pertahanan kami bekerja keras dan bertahan adalah sebahagian daripada bola sepak.

“Anda kecundang jika tidak bertahan dengan baik. Corak permainan kami di benteng terakhir memberi peluang kami menang perlawanan ini.

“Saya sering berharap kami mampu menguasai bola dalam setiap perlawanan, tapi menentang Barcelona anda sedar ia sukar dilakukan.

“Ini sesuatu yang boleh ditingkatkan, tapi saya mahu menekankan semangat sepasukan dan cara kami bekerja keras bersama-sama.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:22 AM