DARI kiri, Ketua Pelaksanaan Projek dan Teknologi Kumpulan PLI, Eric Holthusen, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan PLI, Giuseppe D’Arrigo, Mustapa, Ketua Pegawai Komersial Kumpulan PLI, Giuseppe Pedretti dan Khalid pada pelancaran global Petronas Sprinta.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Mumbai (India): Petroliam Nasional Berhad (Petronas), melalui anak syarikatnya, Petronas Lubricant International Sdn Bhd (PLI), menyasarkan menjadi pendahulu pasaran di Malaysia untuk jenama minyak enjin kenderaan selepas pelancaran global Petronas Sprinta.

Ketua Rantau Asia Pasifik PLI Mohd Khalid Mohamed Latiff berkata, PLI menguasai sehingga 23 peratus perkongsian pasaran di negara ini dan kini menumpukan kepada perkembangan segmen minyak enjin motosikal.

“Program bersama pengedar antara langkah yang dilakukan Petronas dalam memastikan rantaian pengedaran lebih efektif di negara ini serta perkongsian maklumat pasaran mampu menjadikan ia lebih banyak dijual dengan menawarkan minyak enjin berkualiti bertaraf dunia kepada pengguna di Malaysia,” katanya ketika pelancaran di sini.

Sprinta UltraFlex ini dihasilkan dengan teknologi formulasi unik dibangunkan di PLI membantu mengurangkan kesan geseran pada enjin serta memberi kelancaran berterusan sesuai untuk pengguna di Malaysia yang sering menjadikan motosikal sebagai kenderaan kegunaan harian.

Melalui formulasi ini juga ia mampu mengurangkan enapan sehingga 55 peratus serta perlindungan melebihi 41 peratus terhadap enjin melalui ujian yang dilakukan mengikut pematuhan standard industri global.

Tiga produk utama rantau di rantau Asia iaitu Petronas Sprinta F300 (20W-40), F700 (15W-50) dan F900 (10W-40) terdiri daripada rumusan mineral, semi sintetik dan sintetik penuh, sesuai untuk semua motosikal empat lejang dan mampu mengurangkan bunyi bising serta rasa bebanan pada enjin.

“Asia adalah pasaran penting untuk Sprinta kerana 80 peratus daripada pengguna motosikal di dunia adalah dari benua ini, selain peningkatan jualan sebanyak lapan peratus setiap tahun yang juga peluang untuk kami menawarkan produk terbaik kepada pengguna,” tambahnya lagi.

Mohd Khalid berkata, PLI juga akan membina kilang pengeluaran di India serta pusat kajian dan pembangunan (R&D) khusus untuk minyak enjin motosikal dengan pelaburan keseluruhan sebanyak AS$150 juta (RM664 juta) dan bakal siap pada 2018.

Selain India, produk ini akan memasuki pasaran Malaysia pada suku keduatahun ini serta Thailand dan Vietnam pada hujung 2017, manakala pasaran Indonesia pada 2018.

Turut hadir ketika pelancaran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang hadir atas lawatan kerja di India.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 8:23 AM