Laporan Harian Metro, semalam.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki disyaki menyerang tiga anggota polis di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Telawi, Bangsar, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, suspek berusia 24 hingga 26 tahun terbabit ditahan susulan tiga anggota yang bertugas di Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (STAGG), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman cedera diserang sekumpulan lelaki sewaktu menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan.

"Tiga suspek terbabit direman bagi siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, tiga anggota terbabit cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu dan botol kaca.

Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima rawatan kecemasan selain menerima jahitan di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 3:25 PM