Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Dua puluh tahun lalu, kumpulan Saujana antara pencetus genre nasyid yang menjadi ikutan remaja. Lagu Keluarga Bahagia, Suci Sekeping Hati, Air Mata Keinsafan dan Sepohon Kayu Daunnya Rimbun sering menjadi pilihan untuk persembahan nasyid di sekolah dan kolej.

Selepas kali terakhir muncul dengan album Aku Cinta Allah pada 2013, Saujana yang dianggotai Zalie (Azalinor Abdul Rahman), Pyan (Mohd Suffian Amrin), Najer (Wan Najran Wan Mohd Noh) dan Adi (Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz) kembali mewarnai pentas melalui program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV) bermula 8 April ini.

Tidak dinafikan, Saujana gembira kerana dapat kembali ke pentas besar bersama penasyid seperti Hijjaz, Mirwana dan UNIC.

Kata Pyan, siapa yang dapat ilham untuk menghasilkan program ini memang satu rahmat dan berharap ia akan menjadi bermusim sama seperti Gegar Vaganza.

“Disebabkan kami antara pemula untuk program ini, kami kena bekerja lebih keras,” katanya.

Pyan yang juga penyampai radio Ikim FM akui melalui program ini, masa depan kumpulan nasyid lebih cerah. Apatah lagi kali terakhir program realiti serupa ialah Akademi Nasyid di TV9 pada 2009.

Kemudian melalui Carta Nasyid Ikim FM yang membawa kepada Anugerah Nasyid Ikim FM kali terakhir pada 2015.

Bagaimanapun dalam situasi genre nasyid cuba kembali ke arus perdana selepas membina legasi lebih dua dekad, ada pihak mempertikaikan tujuan genre nasyid dikomersialkan seperti GGV.

Kata Pyan, orang boleh cakap macam-macam tetapi mereka yakin produser ada niat baik dengan menerbitkan program seperti ini.

“Kami juga memainkan peranan tersendiri untuk memberi penjelasan kepada peminat mengenai program yang kami sertai,” katanya.

GGV yang mempertaruhkan lagu ketuhanan, bakal bersiaran di Astro Oasis dijayakan empat peserta berkumpulan iaitu Hijjaz, Saujana, Mirwana dan UNIC serta enam penyanyi solo, Hafiz Hamidun, Ana Raffali, Bienda, Azmi Caliph Buskers, Izam EYE serta Wani.

Ia menampilkan Farihin Abdul Fatah dan pelakon Indonesia, Oki Setiana Dewi selaku juri tetap. Program itu diadili sepenuhnya juri profesional termasuk juri undangan mingguan manakala pengacara ialah Siti Nordiana, Achey (Bocey) serta Fikri (Lawak Solo).

Bagi Zalie pula, hal sama diperdebatkan golongan penasyid tempatan yang dikenali sebagai munsyeed.

“Kami ada kumpulan munsyeed yang terdiri daripada pelbagai latar belakang penasyid. Ada macam-macam pemikiran dan pemahaman.

“Tidak dinafikan ramai penasyid bising sebab tidak mendapat sokongan daripada media arus perdana seperti radio, TV dan akhbar sebelum ini.

“Tapi apabila Astro cuba buat dengan menghasilkan GGV, kenapa perlu hentam dan timbulkan persoalan yang tidak sepatutnya?” katanya.

Kata Zalie, kenapa tidak gunakan sahaja kesempatan melalui GGV untuk memperkenalkan semula genre nasyid ke arus perdana seperti dulu.

Hal sama dipersetujui Najer yang mengajak peminat genre nasyid berfikiran lebih luas. Katanya, kita tidak boleh terlalu jumud kerana di segi dakwah pun kita kena cari platform sesuai dan bagus agar dakwah itu sampai kepada audiens.

“Biarpun kena cari audiens sendiri, masa sama kena juga kekalkan cara baik untuk beroleh keberkatan,” katanya.

Mengenai kontroversi yang mungkin timbul dalam GGV sebagaimana program realiti lainnya dan menjadi kemestian sebelum ini, Najer berpendapat biarpun mereka kumpulan nasyid, mereka bukan malaikat.

Katanya, penasyid juga tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan ia memberi satu cabaran buat mereka yang sudah 20 tahun berada dalam industri.

“Janganlah kontroversi yang timbul terlalu negatif sehingga terus ditelanjangkan dan menjatuhkan maruah.

“Kontroversi kena juga ada untuk merancakkan industri, cuma jangan terlalu telanjangkan. Apa yang penting ialah jaga adab,” katanya.

Mengenai perancangan baru Saujana, kata Pyan mereka sebenarnya dalam proses untuk muncul dengan single terbaru bagi meraikan 20 tahun berada dalam industri.

Katanya, mereka berjaya mengumpul tujuh anggota Saujana sejak ditubuhkan pada 1997 sehingga sekarang untuk bersama-sama.

“Bagaimanapun kami tidak berjaya mendapatkan seorang ahli lama Saujana, Ahmad Shahir Zawawi yang menghilangkan diri daripada rakan lama sehingga ke hari ini.

“Sudah lama cuba mencari Shahir sebab nak satukan semula melalui projek single terbaru Saujana tapi dia tidak dapat dikesan.

“Lagi pun kebetulan terpilih untuk GGV, single itu terpaksa direhatkan terlebih dulu agar kami dapat fokus satu demi satu,” katanya.

Zalie berkata, bukan mudah untuk mengumpul tujuh ahli Saujana yang mengambil masa lebih tiga tahun.

Dalam tempoh itu, mereka cuba mencari keserasian dari segi jadual, tarikh latihan, pemilihan lagu dan sebagainya.

Akhirnya projek khas itu berjaya direalisasikan dan kebetulan dengan GGV, proses promosi menjadi lebih indah dan mudah.

Anggota asal Saujana selain Pyan dan Zalie ialah Idzu (Khairul Idzwan Baharin), Kimi (Hakimi Harun) dan Ley (Faizul Hizal Ghazali).

Najer dan Adi mula menganggotai Saujana lewat 2000 untuk album ketujuh, Nota Cinta pada 2010 dan Aku Cinta Allah pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:06 AM