myMetro

Sesuai dengan slogan ‘Make An Impression, Everywhere You Go’, Boon Siew Honda (BSH) memperkenalkan model barunya Honda Wave Dash Fi khusus untuk golongan muda.

Model terbaru ini menerima sentuhan lebih menarik apabila dipadankan dengan grafik geometri warna khas daripada model Honda CB650.

Selain itu, panel meter bergaya dan plat pelindung haba baru yang dipertingkatkan menjanjikan penampilan lebih segar.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH Nobuhide Nagata berkata, penambahan varian terbaru dalam keluarga dua roda itu menjanjikan rekaan menarik, bergaya dan ‘trendy’ untuk memenuhi keperluan penunggang muda.

“Pelanggan mahu sentiasa bergaya dan mengikut aliran fesyen semasa di mana saja mereka berada, malah ketika di jalan raya.

“Rekaan terkini grafik New Wave Dash Fi diinspirasikan daripada warna menarik dan grafik geometri warna khas CB650, bersama panel meter bergaya dan plat pelindung haba baru yang dipertingkatkan menjanjikan penampilan yang lebih segar.

“Penunggang muda di negara ini hidup dalam gaya pantas bergerak dan mencari tunggangan bergaya,” katanya.

Motosikal kategori ‘cub’ diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) ini menggunakan enjin empat lejang bersesaran 109cc bersepadu dengan Sistem Suntikan Bahan Api Terancang (PGM-Fi).

Rangkaian kuasa itu menyalurkan kuasa maksimum mencecah 8.5hp untuk pengalaman tunggangan lebih baik. Kuasa hentiannya dipertingkatkan dengan brek cakera belakang dan hadapan bagi varian R Type, manakala brek dram bagi varian S Type pada roda belakang.

Harga bagi varian S Type, R Type dan Edisi Repsol masing-masing dijual bermula RM5,860.74, RM6,178.74 dan RM6,337.74 tidak termasuk insurans. Malah, model itu juga didatangkan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:05 AM