Tan Sri Khalid Abu Bakar

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, kita dapat sama-sama meraikan sambutan Ulang Tahun Penubuhan Pasukan Kor Kadet Polis yang ke-47 pada tahun ini.

Bersempena sambutan ulang tahun PDRM yang ke-210 pada 25 Mac lalu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Peringatan Hari Polis yang ke-210 kepada seluruh warga Kor Kadet Polis, yang turut sama menjadi sebahagian daripada keluarga PDRM.

Sesuai dengan kematangan usia penubuhannya, Pasukan Kor Kadet Polis bukan sekadar pasukan beruniform untuk mengisi kegiatan kokurikulum sekolah menengah semata-mata. Malah, pengisian aktivitinya bertujuan melahirkan remaja yang berdisiplin, memupuk semangat kerjasama, saling menghormati dan kesetiaan kepada Raja dan Negara. Dalam masa sama, Pasukan Kor Kadet Polis turut memberi kefahaman kepada ahli-ahlinya mengenai tugas kepolisan dan penguatkuasaan undang-undang serta kepentingannya kepada masyarakat.

Alhamdulillah, peningkatan jumlah penyertaan ahli Pasukan Kor Kadet Polis setiap tahun juga amat membanggakan. Sehingga 31 Januari 2017, terdapat 116,702 orang pelajar yang menjadi ahli Kor Kadet Polis. Jumlah ini jelas menunjukkan minat mendalam golongan remaja sekolah terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini sekali gus membantu memenuhi keperluan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berkehendakkan semua pelajar sekolah menjadi ahli badan beruniform.

Kor Kadet Polis turut memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga kepada pihak pentadbir sekolah dan PDRM. Dengan adanya peranan sebegini, ia sedikit sebanyak dapat membantu mencegah perlakuan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah dalam menyokong peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada warga PDRM yang dilantik bagi setiap sekolah.

Seiring dengan tema sambutan Hari Polis pada tahun ini iaitu POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA, maka PDRM juga berhasrat untuk menonjolkan ‘kehadiran’ Kor Kadet Polis ini di mata masyarakat, agar ia tidak sekadar berfungsi sebagai persatuan di sekolah. Penambahan program kemasyarakatan di dalam silibus aktiviti Kor Kadet Polis, berupaya memupuk sikap kebertanggungjawaban terhadap diri sendiri, keluarga, bangsa, masyarakat dan negara.

Dalam keghairahan kita mengejar status negara maju, kecanggihan teknologi serta kebebasan penggunaan media sosial telah menyingkap satu lagi ruang lingkup jenayah baru dalam kalangan remaja hari ini. Tidak dinafikan, remaja kini memang pintar, tetapi mereka kurang matang dalam memahami implikasi aktiviti atas talian tanpa kawalan. Akibatnya, ramai remaja terjebak dalam aktiviti tidak sihat seperti jenayah dan juga masalah sosial. Contohnya, PDRM mengesan modus operandi baru sindiket dadah yang menggunakan aplikasi WhatsApp dan WeChat untuk menjual dadah. Pelajar sekolah pula adalah antara pelanggan aktif yang dikesan terbabit dengan pembelian dadah melalui atas talian.

Lebih membimbangkan, generasi muda khasnya pelajar dikenal pasti sebagai kumpulan sasar sindiket dadah termasuk dijadikan sebagai ‘runner’ untuk menjual dadah, selain mempengaruhi mereka menjadi keldai dadah dan sebagainya. Dengan upah yang tidak seberapa, pelajar sekolah mudah terpengaruh, tanpa menyedari mereka terbabit dalam aktiviti sindiket pengedaran dadah.

Tahun 2015 mencatatkan sebanyak 439 kes tangkapan pelajar sekolah yang terlibat dalam kegiatan dadah. Angka tersebut meningkat kepada 446 kes pada 2016. Walaupun pertambahan tersebut dilihat kecil, namun ia adalah satu permasalahan yang membimbangkan. PDRM akan terus meningkatkan kerjasama dengan KPM dalam menangani jenayah dadah dalam kalangan pelajar sekolah. Kita tidak mahu masa hadapan generasi muda khususnya pelajar sekolah kita musnah, disebabkan najis dadah.

Harapan saya kepada seluruh warga Kor Kadet Polis, manfaatkanlah penyertaan dalam Kor Kadet ini sebagai satu wadah yang dapat mengangkat disiplin dan jati diri, sebagai pemimpin masa hadapan, sekali gus menjadi ‘role’ model kepada pelajar lain.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, pengetua, guru, ibu bapa dan ahli Kor Kadet Polis serta semua pihak yang bekerjasama dan sentiasa memberi sokongan kepada program atau -aktiviti yang dijalankan oleh Kor Kadet Polis.

Sekian, terima kasih.

Ketua Polis Negara Polis Diraja Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 11:11 PM