ULAR boa itu dengan duri landak pada badannya. - Agensi

Brasilia: Seekor ular menderita kesakitan selepas ‘ditembak’ seekor landak yang cuba dimakannya.

Satu video yang dirakam di Brazil menunjukkan ular boa berkenaan seolah-olah menahan kesakitan dengan puluhan duri landak melekat pada badannya.

Reptilia itu dipercayai cuba memakan landak berkenaan tetapi haiwan itu bertindak mempertahankan diri dengan ‘menembak’ durinya.

Seorang lelaki yang merakam kejadian itu berkata, ular berkenaan cuba melarikan diri ke dalam semak tetapi nasibnya tidak baik apabila seekor anjing pula cuba menyerangnya.

Ia terpaksa melingkar untuk mempertahankan diri daripada anjing berkenaan.

Bagaimanapun, kesudahan nasib ular itu tidak dijelaskan.

Ular boa biasanya memakan kelawar, tikus, burung dan haiwan jenis cicak serta mengambil masa empat hingga enam hari untuk menghadamkan makanannya itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 7:38 AM