DAVID (kiri) dan Min Li mewakil Malaysia untuk kategori seni bina serta rekaan dalaman.
PENEKANAN kepada reka bentuk ruang terjemahan idea Show Yee.
GAMBARAN suasana berbeza di Pasar Pudu.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Idea utamanya untuk mewujudkan ruang pembelajaran dan keusahawanan kepada pelbagai lapisan usia rakyat Malaysia di Pasar Pudu.

Tidak hanya memelihara senario awal penubuhannya, malah turut menempatkan kelas seni, bengkel, seminar dan pameran berkaitan elemen tradisional, amalan serta budaya masyarakat.

Kekuatan itulah yang berjaya menobatkan Chai Min Li, 23, sebagai penerima anugerah platinum serantau untuk rekaan dalaman kategori pelajar sempena Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2016 di Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Menerusi projek proposal, beliau membentangkan ‘The Common Palace: Regeneration of Pudu Markets’ dalam usaha mengembalikan kegemilangan Pasar Pudu setanding kepesatan pembangunan moden di Kuala Lumpur hari ini.

“Ia lebih bermakna jika diberi wajah baru dan menjadi platform perkongsian budaya yang secara tidak langsung menggalakkan interaksi sosial dalam suasana lebih moden sesuai dengan keperluan dan aktiviti ekonomi semasa.

“Pada masa sama idea rekaan dalaman untuk Pasar Pudu ini berfungsi sebagai ruang pameran, penyimpanan, perniagaan yang boleh diubah suai mengikut keadaan tertentu.

“Sekali gus berfungsi sebagai ruang untuk aktiviti kebudayaan dan sosial masyarakat Malaysia,” kata Min Li penerima anugerah emas sebelum melayakkan diri ke AYDA 2016.

Sementara itu, penerima anugerah platinum serantau untuk seni bina ialah Ueda Mitsumori, 25, dari Jepun.

Menganggap pertandingan AYDA 2016 antara peluang untuknya melangkah lebih jauh, penerima anugerah emas untuk seni bina kategori pelajar dari Malaysia pula mempunyai prinsip tersendiri setiap idea diketengahkan.

David Nee Zhi Kang, 23, dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil penuh yakin membentangkan projek proposal seni binanya yang dinamakan ‘An Academic & Reseach Centre For Kalam- Vernacular + Contemporary Design.’

“Identiti seni bina Malaysia secara beransur-ansur dipengaruhi gabungan rekaan moden untuk Pusat Kajian Alam Bina Melayu (KALAM).

“Dalam usaha mengekalkan inti pati seni bina Malaysia, saya cuba gabungkan unsur rekaan tradisional dalam struktur bangunan untuk melengkapkan persekitaran moden, relevan dan dekat dengan alam semula jadi,” katanya.

Malah David dilihat selesa dengan pendekatan seni bina vernakular dan kontemporari untuk KALAM bertujuan memelihara serta memulihara unsur warisan.

Ternyata reka bentuk seni bina mengintegrasikan gaya vernakular dan kontemporari untuk ruang yang mampan kegunaan masyarakat dengan elemen menghargai alam sekitar, menggalakkan suasana kondusif untuk belajar dan bekerja.

Maryam Nabilah Zamalik, 28, pula penerima anugerah emas untuk seni bina kategori profesional muda menerusi projek proposal bertajuk ‘Reprogramming Polluted City Of Chittagong, Bangladesh.’

“Pelan induk seni bina yang dicadangkan ini bertujuan meneroka kesan alam sekitar dan sosial serta aktiviti pemecahan kapal di Chittagong itu.

“Idea ini bertujuan membantu komuniti di kawasan sekitar menerusi menyelaraskan pengurusan dengan lebih teratur.

“Selain tempat pemecahan kapal, saya mahu membina hospital dan gudang supaya penempatan teratur serta kebajikan pekerja Bangladesh lebih terpelihara,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Tidak ketinggalan Goh Sow Yee, 27, yang turut diangkat sebagai penerima anugerah emas untuk rekaan dalaman kategori profesional muda.

Selesa dengan projek proposal ‘En Plein Air,’ Show Yee lebih memberi penekanan kepada reka bentuk, lampu, warna, bahan berdasarkan personaliti pengguna dan kelebihannya.

“Saya menjadikan lukisan terkenal Claude Monet ‘The Cliff Walk’ sebagai inspirasi untuk ‘En Plein Air,’ pencahayaan semula jadi dan ruang dalaman berangin dengan penggunaan warna neutral pada kayu, logam dan perabot minimalis,” katanya.

Terdahulu, 22 penerima anugerah emas kategori pelajar dari 15 negara bersaing merebut anugerah platinum serantau sempena Program Pembelajaran Serantau AYDA 2016 selama tiga hari berturut-turut di Harper Mangkubumi itu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NIPSEA Group Wee Siew Kim dan Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint (M) Sdn Bhd Gladys Goh.

AYDA mula diperkenalkan pada 2008 dengan nama Anugerah Pereka Muda Nippon Paint (NPYDA).

Ia adalah pertandingan rekaan premium untuk pelajar rekaan dalaman dan seni bina seluruh Asia dianjurkan selari dengan matlamat syarikat pengeluar cat Nippon Paint bagi memupuk bakat generasi akan datang.

Selain Malaysia, ia mendapat sambutan di Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam, Hong Kong, China, Jepun, Pakistan, Bangladesh, India, Taiwan, Papua New Guinea dan Sri Lanka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 4:28 AM