Mohd Shamsure ditemui lemas, manakala anak saudaranya masih hilang di Pantai Kemayang, Tawang, 5 petang, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Bachok: Seorang bapa berkorban nyawa menyelamatkan tiga anaknya dan anak saudaranya sebelum dia lemas, manakala anak saudaranya dikhuatiri lemas dalam kejadian di Pantai Kemayang, Tawang, di sini, 5 petang, hari ini.

Mohd Shamsure Mat, 37, ditemui lemas oleh orang ramai pada 5.25 petang, manakala, anak saudaranya, Wan Nurul Huda Wan Mohd Long, 7, masih hilang.

Tiga anak Mohd Shamsure, Nur Shahira, 11, Nurshafiqha, 9, dan Mohamad Adam Daniel, 7, berjaya diselamatkannya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, sebelum lemas, Mohd Shamsure berada di atas tebing sebelum isterinya yang berada di gigi air menjerit memanggilnya.

"Mangsa terus berlari menyelamatkan tiga anak dan cuba menyelamatkan seorang anak saudaranya itu.

"Mangsa bagaimanapun dibawa arus deras dan ditemui lemas sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), manakala anak saudaranya dikhuatiri lemas.

"Operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 7 petang dan akan disambung pada jam 8 pagi esok," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 8:58 PM