Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


Alor Gajah: Pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara selama 24 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku salah merogol dan meliwat kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, minggu lalu.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhamed Firdaus Mohammed Kazi Ismail, 21, mengangguk dan mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan persetubuhan di luar aturan tabie tanpa kerelaan terhadap kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun, 10 bulan di kawasan semak bersebelahan ladang getah Kampung Paya Rumput, di sini, jam 11 malam, 23 Mac lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 337C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa di tempat sama jam 12 tengah malam pada 24 Mac lalu dan dihukum mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tunduk sepanjang prosiding.

Terdahulu, dalam rayuannya tertuduh meminta hukuman diringankan dengan alasan menjaga ibu bapa yang sakit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam memohon hukuman setimpal memandangkan kesalahan rogol membabitkan mangsa di bawah umur adalah berat selain pengajaran buatnya dan orang ramai.

Wan Mohd Norisham menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 12:45 PM
Muhamed Firdaus dijatuhi hukuman 24 tahun penjara dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO Rasul Azli Samad