Md Zamri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dakwaan menerima rasuah RM1,000 empat tahun lalu. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


Seremban: Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan menerima rasuah RM1,000 pada 2013.

Tertuduh, Md Zamri Atan@ Mohd Salleh, 36 yang juga Ketua Pemeriksa Kereta Motor JPJ negeri mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Fathiyah Idris sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Md Zamri didakwa menerima suapan RM1,000 secara tunai daripada seorang lelaki bagi mempercepat dan mendapatkan laporan pemeriksaan sebuah kereta jam 11 pagi pada 15 Julai 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Fathiyah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 2 Mei depan dan memberikan jaminan RM7,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 11:30 AM