Nedim dan Nora ceria selepas akad nikah. FOTO BETTY RAHMAD
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas lapan tahun bergelar ibu tunggal, pelakon Nora Danish, 35, sah bergelar isteri kepada Nedim Nazri, 34, dengan dua kail lafaz dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Glasshouse at Seputeh, di sini, malam ini.

Pasangan ini dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Wilayah Persekutuan Khairul Asyraf Ahmad pada jam 8.37 malam dan jumlah hantaran serta mas kahwin dirahsiakan.

Majlis yang diadakan secara tertutup itu berlangsung sederhana tetapi meriah dengan kehadiran keluarga dan teman rapat.

Nora berkata, mereka sudah merasai majlis pernikahan yang dibuat secara besar-besaran dalam perkahwinan terdahulu.

Jadi, untuk kali ini mereka memilih untuk mengadakan majlis yang sederhana saja.

“Tidak semestinya majlis sederhana itu tidak meriah. Kami memilih cara ini kerana ia lebih peribadi dan intim," katanya.

Nora yang anggun mengenakan busana perkahwinan rekaan jenamanya sendiri, Owl By ND berkata, dia bersyukur kerana saat yang dinanti-nantikan ini akhirnya menjadi kenyataan.

“Ia seperti impian jadi nyata dengan penyatuan ini. Sudah lama saya tunggu saat-saat ini untuk disatukan dengan belahan jiwa.

“Saya harap semua dapat doakan kebahagiaan saya dan suami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 9:33 PM