Alwi Ibrahim
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap 19 penerbitan

kerana kandungannya yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, memudaratkan ketenteraman

awam, moral, keselamatan negara dan kepentingan awam.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, perintah larangan ini dibuat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menetapkan percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

Katanya, isi kandungan dan artikel 13 penerbitan didapati berunsur seks serta memuatkan gambar lucah yang keterlaluan dan tidak bersesuaian dengan norma kehidupan masyarakat negara ini.

Tajuk penerbitan itu adalah 'Revenge of the Sarong Party Girl'; Fifty Shades of Bliss; The Ultimate Guide To Spicing Up Your Sex Life ; Maxim (Vol 18, No 9 November 2014) (USA Edition); Maxim (Volume 18, No.5 Jun 2014) (USA Edition); Pop Psychedelic; Only Two Can Play; Black Men Special Edition; The Loving Touch; The Book of Loving Sex; Kamasutra & Kecerdasan Seks Modern; Nikmatnya Melayari Bahtera Malam Pertama; Pelacur Kelas Pertama dan Nazi Goreng.

“Sementara tiga penerbitan lain didapati mengandungi fakta yang mengelirukan dan bertentangan dengan ajaran serta akidah Islam sebenar mengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ditetapkan di negara ini.

“Penerbitan ini juga dilihat boleh mengelirukan orang ramai dan dikategorikan sebagai menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tajuk penerbitan itu ialah Bila Anak-anak Bertanya Tentang Allah dan Alam Ghaib Inilah Jawapannya...; Tafsir Al-'Usyr Al-Akhir dari al-Quran Al-Karim Juz (28,29,30) Disertai Hukum-hukum Penting Bagi Seorang Muslim dan 'The Gospel of Ali (Penghargaan Islam Atas Yesus).

Selain itu, katanya, terdapat tiga penerbitan lain yang mempunyai unsur mempromosi perjuangan komunis dan Daulah Islamiyyah, serta mungkin boleh memberi implikasi negatif dari sudut keselamatan negara.

"Penerbitan yang memperjuangkan ideologi komunis adalah Hidup Bagai Sungai Mengalir (Kisah 16 Orang Wanita Dalam Gerakan Anti-Jepun, Anti-Penjajah dan Kemerdekaan di Malaysia-Singapura 1938-1989) dan Manisfesto Komunis.

"Sementara Al-Fatihin: Surat Khabar Bagi Muhajirin Berbahasa Melayu di Daulah Islamiyah pula dilihat mengandungi unsur doktrin radikal agama dan ekstremis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 7:04 PM