Dewan Kuliah 3 dimasuki air akibat longkang tidak dapat menampung aliran hujan. FOTO ihsan pembaca
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Alor Gajah: Dewan kuliah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, di sini, digenangi air sedalam kira-kira 0.5 meter selepas hujan lebat melanda daerah ini selama lebih dua jam, pagi tadi.

Bagaimanapun, difahamkan ketika air memasuki dewan itu jam 8.30 pagi, ia tidak digunakan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat UiTM Melaka Dr Abdul Rauf Ridzuan berkata, air yang memasuki Dewan Kuliah 3 itu bukan limpahan Sungai Lendu sebaliknya air hujan yang dipercayai tidak dapat mengalir melalui longkang kerana terlalu lebat.

"Ini kejadian pertama kerana sebelum ini dewan kuliah tidak pernah dimasuki air biarpun hujan lebat," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, penuntut pengajian diploma sedang menjalani peperiksaan akhir di kampus terbabit manakala penuntut ijazah sarjana muda pula mengikuti kuliah seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 6:40 PM