D'Arrigo (dua dari kiri) dan Mustapa (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran global produk minyak pelincir Petronas Sprinta UltraFlex di Mumbai, India. FOTO Lizam Ridzuan
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Mumbai, India: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melalui anak syarikatnya Petronas Lubricant International Sdn Bhd (PLI) melakukan pelancaran global rangkaian terbaharu Sprinta iaitu minyak enjin untuk motosikal, di sini, hari ini.

Produk itu terdiri daripada Petronas Sprinta F300 (20W-40), F700 (15W-50) dan F900 (10W-40) dengan formulasi terkini UltraFlex yang mampu mengurangkan bunyi bising dan bebanan pada enjin.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi PLI Giuseppe D'Arrigo, sebanyak 80% pengguna motosikal di dunia adalah dari benua Asia yang menjadikan ia sebagai pengangkutan utama dalam menjalani urusan seharian.

"Formulasi UltraFlex ini sesuai untuk semua jenis motosikal terutama di bawah 250cc yang sering digunakan secara maksimum untuk membawa penumpang, melalui kesesakan jalan raya dan mengangkut muatan," katanya .

Diuji secara standard global, Petronas Sprinta dengan UltraFlex mampu memberi perlindungan enjin sehingga 41% lebih daripada yang ditetapkan di dalam pasaran untuk ketahanan enjin serta prestasi berterusan.

Selain India, produk ini akan memasuki pasaran Malaysia dan Vietnam pada suku tahun kedua serta Thailand pada hujung 2017 dan Indonesia pada 2018.

Turut hadir ketika pelancaran ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang hadir atas lawatan kerja di India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 5:13 PM