MAS Idayu dan protegenya, Tuah.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Konsert kedua protoge Kumpulan A, Mentor Legend menyaksikan anak didik Mas Idayu, Tuah dinobatkan juara bagi persembahan minggu ini selepas berjaya meraih markah tertinggi iaitu 73 peratus.

Berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral malam kelmarin, konsert itu turut menyaksikan protoge Sarah dan Fahmie masing-masing memperoleh sebanyak 63 dan 69 markah.

Tuah atau nama sebenar Mohamad Farhan Zahi Mohd Zaini, 22, mendendang­kan Gugurnya Bunga Cinta dan lagu dangdut Secangkir Madu Merah berduet dengan protoge Kumpulan B, Aina.

Kedua-dua persembahan itu mendapat pujian hebat daripada juri Azmeer dan Adlin Aman Ramli.

Mengulas persembahan protogenya, Mas Idayu berkata, dia belum mempunyai strategi untuk Tuah, namun mahu anak didik itu bekerja lebih keras.

"Selepas ini, saya berharap Tuah akan melakukan lebih baik daripada persembahan malam ini (kelmarin).

"Pada masa sama, saya mahu dia menampilkan persembahan seperti saya kehendaki dan terus melang­kah ke depan," katanya.

Cukup dikenali dengan sikap garangnya, Mas Idayu mengakui pernah terlampau tegas terhadap anak didik sebelum ini.

"Protoge lalu mungkin tidak dapat mengikut cara didikan saya. Sebenarnya, saya terlalu telus ketika mengajar kerana mahu anak didik berjaya," katanya.

Menurut penyanyi dangdut itu, dia masih bersikap tegas terhadap Tuah, cuma tidak seperti dulu.

"Namun saya akan lebih tegas sekiranya Tuah lebih berjaya pada konsert akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Tuah mengakui takut dengan Mas Idayu pada awal sesi latihan bersama mentor itu.

"Saya cuba merapatkan hubungan dengan Mas Idayu dengan mengikut rentaknya selain menuruti segala kehendaknya," katanya.

Anak kelahiran Kedah itu turut memberitahu dia berpuas hati dengan per­sembahannya kerana berjaya memberi impak kepada penonton dan juri.

Terdalulu, pusingan pertama konsert menyaksikan persembahan solo protoge Kumpulan A.

Sebelum itu, tirai konsert buka dengan persembahan penuh bertenaga daripada protoge Kumpulan B. Ia diikuti dengan protoge Amy Search, Sarah menerusi lagu Matahari.

Istimewanya, persembahan berkonsepkan pementasan itu turut menampilkan pelakon popular Remy Ishak.

Seterusnya, Fahmie muncul dengan Lagu Untukmu diikuti persembahan daripada Tuah yang menyampaikan lagu Gugurnya Bunga Cinta.

Pusingan kedua pula menyaksikan protoge Kumpulan A berduet dengan Protoge Kumpulan B.

Pentas dihangatkan de­ngan persembahan Sarah dan anak didik Dayang Nurfaizah, Azmil menerusi lagu Meniti Tiang Usang.

Persembahan kedua pula, Fahmie bersama protoge Zainal Abidin, Nadeera berduet Hati Yang Tersakiti.

Akhirnya tiba giliran Tuah dan protoge Ella, Aina yang mempersembahkan Secangkir Madu Merah.

Sementara itu, Penerbit Mentor Legend, Ahmad Shaifullizam Arshad berkata, gabungan Kumpulan A dan Kumpulan B dalam persembahan pusingan kedua bagi menonjolkan lagi bakat setiap protoge.

"Pesembahan duet itu mencabarkan dan protoge dapat belajar nyanyi secara berkumpulan," katanya.

Menurutnya, setiap mentor turut menerima kritikan daripada juri sebagai iktibar serta panduan bagi mempertingkatkan lagi bakat anak didik mereka.

"Selain itu, mentor juga perlu memastikan lagu yang dipilih sesuai untuk protoge mereka namun pada masa sama memastikan lagu itu bukan mudah untuk dibawa," katanya.

Ikuti konsert mingguan Mentor Legend pada setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Sorotan aktiviti protoge bersama mentor mereka juga boleh disaksikan menerusi Jurnal Mentor Legend pada hari sama, jam 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:01 AM