Jayganth mengaku bersalah atas tuduhan menawarkan tiket perkhidmatan pengangkutan awam tanpa lesen di Mahkamah Majistret Trafik. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Ibrahim Isa
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang penganggur didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Trafik, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menawarkan tiket perkhidmatan pengangkutan awam tanpa lesen.

Tertuduh, S Jayganth, 28, mengaku bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Salina Omar.

Salina kemudian menjatuhkan denda RM1,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Jayganth melakukan perbuatan itu di depan kaunter tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Johor Bahru Sentral, di sini, jam 8.10 pagi semalam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Farhan Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh kemudian membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 1:48 PM