Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Seorang pemilik bengkel kereta didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua tuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM524,000 antara November dan Disember 2014.

Tertuduh, Mohd Hezzam Arfaei Mat Hassan, 39, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hezzam didakwa menerima RM524,205.56 hasil aktiviti pengubahan wang haram ke dalam akaun Malayan Banking Berhad cawangan Equine Park, di Blok B, Persiaran Akademi Perdana, Taman Equine, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di sini, antara 23 November dan 3 Disember 2014.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap bulan.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 1:03 PM