COUTINHO (tengah) meledak jaringan.
AFP

Montevideo: Montevideo: Brazil muncul pasukan pertama layak ke Piala Dunia awal pagi semalam selepas menumpaskan Paraguay untuk meraih kemenangan kelapan berturut-turut ketika kempen Argentina terjejas berikutan penggantungan mengejut Lionel Messi.

Juara dunia lima kali Brazil menunggu penuh debar selepas gol Neymar, Philippe Coutinho dan Marcelo membantu mereka menang 3-0 ke atas Paraguay di Arena Corinthians, Sao Paulo.

Namun kekalahan mengejut Uruguay 1-2 kepada Peru pada perlawanan terakhir kelayakan zon Amerika Selatan selain keputusan lain bermakna Brazil secara matematik terjamin tempat ke pusingan akhir di Russia tahun depan.

Kejayaan itu melengkapkan kebangkitan menakjubkan buat Brazil, yang mana kurang setahun lalu berdepan krisis selepas hanya mengumpul sembilan mata daripada enam perlawanan. Ketika itu Brazil menghuni tangga keenam dan sukar untuk layak.

Aib berikutnya melanda apabila tersingkir pada peringkat kumpulan pada Copa America Centenario tahun lalu.

Bagaimanapun pemecatan bekas jurulatih Dunga dan pelantikan bekas jurulatih Corinthians, Tite menjadi pemangkin kebangkitan Brazil.

Ia menyaksikan Brazil meraih mata maksimum bagi lapan aksi kelayakan berikutnya, membolehkan mereka unggul sembilan mata di depan dengan berbaki empat perlawanan.

“Apabila saya melihat kepada keluarga saya (pemain) dan apabila kami bercakap dengan penyokong dan lihat bagaimana gembiranya mereka, masa itulah anda terfikir ‘anda sebahagian daripada sesuatu yang amat istimewa,” kata Tite selepas kejayaan Brazil ke Russia disahkan.

Ketika Brazil berpesta, Argentina dan Messi berduka apabila kemaraan mereka ke Russia terjejas dengan kekalahan 0-2 di La Paz.

Bintang Barcelona itu terkejut apabila digantung empat daripada baki lima perlawanan Argentina pada kelayakan Piala Dunia kerana memaki hamun pegawai perlawanan ketika menentang Chile minggu lalu.

Juan Carlos Arce membuka tirai jaringan buat Bolivia selepas 31 minit apabila menanduk masuk hantaran silang Pablo Escobar sebelum Marcelo Martins menambah gol kedua tuan rumah pada awal babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 10:27 AM