MOHD Rais (kanan) bersama Mohamad Safri pada pelancaran Kolaborasi Strategik antara PPZ-MAIWP dan CIMB Islamic Bank.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bersama CIMB Islamic Berhad menyasarkan untuk menarik 8,000 pembayar zakat baru melalui potongan gaji menerusi kempen Skim Thohir.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Mohd Rais Alias berkata, fasa pertama Skim Thohir itu akan bermula pada April hingga Julai manakala fasa kedua dari Ogos hingga November.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan pameran bergerak bermula April ini untuk mempromosikan skim berkenaan terutama membabitkan 30 syarikat swasta dan kerajaan terpilih.

“Tahun lalu, PPZ-MAIWP bersama CIMB Islamic menjalin kerjasama pertama menganjurkan kempen Skim Thohir pada Oktober hingga 31 Disember lalu dan berjaya menarik 2,791 pembayar zakat.

“Kami yakin jumlah pembayar zakat melalui potongan gaji akan meningkat tahun ini terutama menerusi kempen Skim Thohir ini yang turut menyediakan hadiah menarik seperti pakej umrah, baucar percutian, barangan elektrik dan wang tunai,” katanya pada kempen skim itu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Mohamad Safri Shahul Hamid.

Mohd Rais berkata, setakat ini pembayar zakat melalui potongan gaji yang paling tinggi iaitu kira-kira 70 peratus.

Menurutnya, PPZ-MAIWP dan CIMB Islamic juga akan mengadakan kempen pembayaran zakat secara dalam talian menerusi CIMB Clicks bagi tempoh sebulan dari 27 Mei hingga 27 Jun depan.

Tarikan utama kempen itu adalah 10 hadiah utama tajaan CIMB Islamic bernilai RM49,000 dan bagi pemenang ke-4 hingga ke-10 yang memegang kad CIMB Islamic Bank akan memperoleh tambahan RM500.

Kempen Skim Thohir terbuka untuk semua rakyat Malaysia dan untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian, 1-300-88-5757.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 7:44 AM