Bayi pramatang yang menjalani pembedahan jantung kini dirawat di hospital pediatrik di Ho Chi Minh. - Foto SGGP via cubird.com
Agensi

Ho Chi Minh: Hospital pediatrik di sini, Minh berjaya melaksanakan pembedahan jantung terhadap seorang bayi pramatang yang hanya seberat 900 gram, sekali gus menjadikan bayi itu pesakit paling ringan pernah menjalani pembedahan seumpama itu.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), doktor di Jabatan Resusisasi Bayi Baru Lahir Hospital Kanak-Kanak No 1, Dr Pham Thi Thanh Tam, berkata bayi perempuan itu diterima pada 3 Mac lalu, dari sebuah hospital di wilayah Vinh Long kerana mengalami masalah jantung dan 'coarctations aorta'.

Bayi pramatang itu lahir pada usia kandungan 31 minggu dengan hanya seberat 900 gram, juga mempunyai masalah pernafasan dan kegagalan buah pinggang.

Tam berkata, prosedur pembedahan itu paling sukar dan berbahaya namun perlu dilakukan segera, tidak boleh menunggu sehingga bayi berkenaan mencapai berat sesuai.

“Jika pembedahan tidak dilakukan segera, ia boleh menjejaskan kesihatan bayi itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum pembedahan dilakukan, perbincangan dengan pelbagai pihak dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Selepas 20 hari, doktor memutuskan melakukan pembedahan, pada 23 Mac lalu.

Dr Pham berkayta, pembedahan selama sejam itu akhirnya berjaya dan bayi berkenaan mampu bernafas dengan bantuan oksigen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 11:08 PM