Marini gembira. FOTO fail HM
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Penerbit filem J Revolusi, Primeworks Studios Sdn Bhd gembira apabila filem berkenaan berjaya mencuri tumpuan penonton bukan Melayu.

Pengurus Besar, Kandungan Inovasi dan Digital Primeworks Distribution, Marini Ramlan berkata, selepas empat minggu ditayangkan, ramai penonton terutama dalam kalangan masyarakat Cina turut menonton filem berkenaan.

“Kehadiran mereka mungkin kerana promosi besar-besaran di stesen radio berbahasa Cina yang berjaya menarik minat mereka.

“Antara reaksi yang kami terima ialah mereka kini mendapat lebih maklumat mengenai UTK (Unit Tindakan Khas) sekali gus berjaya menimbulkan semangat patriotik dalam diri mereka,” katanya.

Dalam pada itu, filem lakonan Zul Ariffin, Izara Aishah, Fazura, Farid Kamil dan Azad Jasmin ini berjaya mencatat kutipan sebanyak RM7 juta selepas lima minggu ditayangkan.

“Pihak kami gembira dengan pencapaian daripada kutipan dan sokongan penonton terhadap filem ini. Ia masih bertahan di 41 pawagam seluruh negara,” katanya.

Menurut Marini, pencapaian itu juga membuktikan kemampuan filem tempatan untuk berada sebaris dengan filem Hollywood.

“Tayangan filem ini serentak dengan beberapa filem Hollywood yang ternyata mengungguli carta. Namun, J Revolusi tidak berada di tangga yang terlalu jauh.

“Secara tak langsung, ini membuktikan filem ini mampu bersaing dengan filem dari Hollywood,” katanya.

Filem mengenai anggota UTK Polis Diraja Malaysia (PDRM) arahan Zulkarnain Azhar ini akan terus ditayangkan sehingga pertengahan April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 7:48 PM