Sebahagian murid bersama ibu bapa dan guru membaca buku pada Karnival Akademik dan Bacathon di SK Mentuan, Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Kira-kira 1,000 murid tahun dua hingga enam bersama ibu bapa dan guru menyertai program Bacathon di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan, di sini, hari ini.

Guru Besar SK Mentuan Che Sazali Che Ibrahim berkata, program itu anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni SK Mentuan yang dirancang sejak dua bulan lalu.

"Kita mahu amalan membaca dijadikan satu budaya di sekolah ini sekali gus melahirkan murid yang hebat.

"Dalam masa sama, dengan adanya gabungan daripada ibu bapa dan masyarakat setempat, ia secara tidak langsung dapat mewujudkan masyarakat yang mencintai ilmu dan mempunyai minda kelas pertama," katanya selepas Karnival Akademik dan Bacathon SK Mentuan.

Majlis dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Abdul Aziz Ab Latif.

Che Sazali berkata, program julung kali itu akan menjadi penanda aras sebelum dilaksana setiap tahun untuk membudayakan membaca buku.

Katanya, semua bahan bacaan digunakan pada program itu dibawa ibu bapa dan disumbangkan kepada pusat sumber sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 5:55 PM