Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka, pagi tadi atas tiga tuduhan menerima rasuah membabitkan nilai RM6,000 pada pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Rasyidah Onn, 27, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba memperoleh suapan iaitu wang tunai RM6,500 daripada Ahmad Firdaose Ramlan sebagai dorongan tidak menuduh adiknya Ahmad Zainal Ramlan bersama tiga rakan lain, kerana memiliki air ketum.

Pertuduhan kedua pula, Rasyidah didakwa bersetuju menerima suapan RM6,000 daripada pengadu untuk tujuan sama.

Sementara pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima suapan RM6,000 daripada pengadu.

Tuduhan pertama dan kedua dilakukan tertuduh pada jam 11.13 pagi dan 2.27 petang melalui panggilan telefon di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.

Manakala pertuduhan ketiga dilakukan pada 4.35 petang di sebuah restoran di Pusat Perniagaan Jelatang, Alor Gajah. Semua kesalahan dilakukan pada 16 Mac 2017.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut nilai yang lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Melaka mencadangkan jaminan RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, James Thanjong Tuan merayu jaminan rendah dikenakan atas alasan anak guamnya menanggung dua adik masih belajar selain ibu bapanya menghidap penyakit kronik.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Meor Sulaiman menawarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 3:48 PM
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Melaka pagi tadi. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan