DUTERTE (dua dari kanan) dikelilingi cucunya dan seorang menantunya yang meraikan hari jadi Presiden Filipina itu yang ke-72 di kediamannya di Davao, semalam. - Agensi

Manila: Kesatuan Eropah (EU) kelmarin memanggil duta Filipina bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan Presiden Rodrigo Duterte yang mengancam untuk menggantung pegawai EU kerana menentang rancangannya mengembalikan hukuman mati.

Perkhidmatan tindakan luar EU berkata, pejabat itu memanggil duta Filipina, Alan Deniega ke ibu pejabatnya di Brussels, Belgium bagi memberi penjelasan berhubung komen yang tidak dapat diterima daripada Duterte.

Langkah itu dilihat menunjukkan sikap kejengkelan EU yang semakin bertambah terhadap sikap Duterte.

EU juga menafikan tuduhan Duterte bahawa kesatuan itu mencadangkan Filipina menyelesaikan masalah penagihan dadah dengan mengwujudkan klinik rawatan yang memberikan pesakit dadah terlarang seperti methamphetamine atau kokain.

Delegasi EU ke Filipina mengeluarkan satu kenyataan menyatakan ia tidak pernah menyarankan, membincangkan, mencadangkan atau mempertimbangkan penggunaan sebarang dadah untuk merawat ketagihan bahan terlarang di Filipina.

Duterte sering menyelar EU kerana beberapa kali menyatakan kebimbangan mengenai hak asasi manusia terhadap kempen memerangi dadah pemimpin itu.

Dia baru-baru ini mendakwa EU mencadangkan satu penyelesaian berasaskan kesihatan terhadap masalah dadah dengan membabitkan pengagihan methamphetamine, kokain atau heroin.

Duterte berkata, cadangan itu adalah satu tindakan yang sangat bodoh. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 8:19 AM