Mayat Harmizan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


Kuantan: Remaja Harmizan Abdul Mutalib, 16, yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Sungai Karang, di sini, semalam ditemui lemas jam 10.20 pagi hari ini.

Ketua Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuantan Alif Hafizul Mohamad berkata, mangsa ditemui orang ramai berhampiran kawasan daratan Pantai Batu Hitam kira-kira 1 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum memaklumkan pasukan penyelamat.

“Operasi mencari hari ini digerakkan seawal jam 7.30 pagi bersama beberapa agensi penguat kuasa dan orang awam sebelum mangsa ditemui,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, mayat kini diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dijangka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam, Harmizan bersama seorang lagi rakannya Wan Zulkhairie Abd Wan Aziz, 14, dihanyutkan arus deras selepas bersama beberapa rakan mereka ke pantai itu untuk mandi manda.

Bagaimanapun mayat Wan Zulkhairie ditemui jam 6.45 petang oleh anggota penyelamat kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 12:01 PM