GAMBAR hiasan, pemandangan di sebuah lapangan terbang di Indonesia.

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia meningkatkan pemeriksaan keselamatan terhadap komputer riba dan perkakasan elektronik lain di lapangan terbang seluruh negara itu.

Bagaimanapun, ia tidak merancang melarang penumpang, baik untuk penerbangan luar negara mahupun domestik membawanya menaiki pesawat, kata Kementerian Pengangkutan.

Menurut peraturan sekarang, penumpang boleh membawa komputer riba dan barangan elektronik lain dan hanya perlu mengeluarkannya dari beg ketika pemeriksaan imbasan.

Peraturan itu bagaimanapun tidak dilaksanakan di semua lapangan terbang.

Dalam satu kenyataannya, ketua pengarah kementerian, Agus Santoso berkata, pihaknya menghantar surat pekeliling kepada semua pengendali lapangan terbang mengenai peraturan berkenaan.

Langkah itu diambil selepas Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom mengharamkan penumpang pesawat dari Turki dan beberapa negara Asia Barat dan Afrika membawa barangan elektronik yang lebih besar daripada telefon bimbit bersama mereka masuk ke dalam kabin.

Indonesia menyaksikan peningkatan ancaman pengganas sejak beberapa tahun lalu. Minggu lalu, polis menembak mati seorang suspek dan menahan tiga lagi lelaki yang ada kaitan dengan Daish.

Bulan lalu, dua cubaan serangan pengganas digagalkan di Bandung. - Jakarta Globe

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 7:28 AM