PASUKAN kereta perisai Myanmar turut berarak sempena sambutan ulang tahun ke-72 Hari Tentera negara itu di Naypyidaw, semalam. - Reuters
AFP

Yangon: Ketua tentera Myanmar semalam mempertahankan kempen ketenteraan di Rakhine selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikrar menyiasat dakwaan tentera negara itu membunuh dan menyeksa penduduk Islam Rohingya di situ.

Bercakap kepada satu perhimpunan sempena hari tentera negara itu semalam, ketua tentera Min Aung Hlaing berkata: “Benggali di Rakhine bukan rakyat Myanmar, tetapi pendatang.”

Hampir 75,000 orang anggota kumpulan minoriti yang tertindas itu melarikan diri ke Bangladesh selepas operasi tentera, kononnya untuk mencari militan Rohingya dilancarkan di Rakhine, negeri di utara Myanmar Oktober lalu.

Penyiasat PBB percaya pasukan keselamatan negara itu melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Minggu lalu Majlis Hak Asasi Manusia PBB bersetuju menghantar misi pencarian fakta antarabangsa yang bebas ‘untuk memastikan kebertanggungjawaban penuh untuk pelaku serta keadilan bagi mangsa.’

Myanmar sudah lama dikritik kerana layanannya terhadap lebih sejuta Rohingya di Rakhine, yang ia anggap pendatang haram dari Bangladesh - atau Bengali - walaupun ramai sudah hidup di negeri itu sejak beberapa generasi lalu.

Kerajaan awam Myanmar diketuai Aung San Suu Kyi menolak siasatan PBB itu kerana mendakwa campur tangan luar ‘akan memburukkan, bukannya menyelesaikan isu yang ada pada masa ini.’

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 7:27 AM