OTHMAN menunjukkan anak pokok acai berry.
OTHMAN (kanan) dan anaknya, Zulfahri Aidi, 29, (kiri) menunjukkan anak pokok nadir.
ANAK pokok nam-nam.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Pernahkah anda mendengar berkenaan buah keranji, acai berry, nam-nam, keriang dot dan pelbagai lagi buah nadir?

Buah nadir ini diancam kepupusan dek era globalisasi yakni arus pemodenan negara yang semakin pesat sekali gus turut mengancam spesies buah-buah nadir ini.

Malah generasi muda juga kurang mengambil tahu berkenaan khazanah terpelihara ini.

Lazimnya ia hanya ditemui apabila tiba musimnya, tapi akibat faktor perubahan cuaca ekstrem, musim buah-buahan nadir ini semakin tidak dapat dijangka.

Bagi pembekal dan pengedar anak benih pokok buah-buahan, Othman Saidon, 57, beliau turut menjual pokok nadir di kediamannya di Jalan Melati, Taman Senawang Jaya, Negeri Sembilan.

Othman yang menubuhkan syarikat Rio Gemilang Sdn Bhd, menjual lebih 180 jenis anak pokok klon buah-buahan termasuk pokok nadir.

Minat yang mendalam terhadap pokok nadir mendorong Othman menjadi pembekal dan pengedar lebih 50 jenis anak pokok nadir.

“Biasalah sebagai orang lama saya pasti ramai kurang tahu berkenaan pokok nadir terutama generasi muda. Oleh itu, saya mengambil langkah ‘mengembalikan’ semula pokok nadir ini.

“Antara pokok nadir yang terdapat di nurseri saya termasuk buah abiu, acai berry, asam, kandis, bidara, kerdas, mentega, nam-nam, redan, cermai, gajus, jentik, keriang dot, rambai, rambutan pacat, salak madu, sentol dan sukun.

“Kebanyakan anak benih pokok nadir ini saya ambil dari beberapa negeri seperti Johor, Kedah, Perlis dan Thailand,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Malah beliau turut menjual anak pokok klon buah-buahan antaranya kelapa pandan, kelapa matag, petai, durian belanda, jambu lohan, delima Iran, belimbing, manggis masta, betik sekaki, longan,

“Selain itu, ciku, durian musang king, rambutan gading, rambutan anak sekolah, nangka madu, pulasan, cempedak, limau kasturi, nipis dan purut.

“Begitu juga jambu air, matoa atau longan kristal, mangga, pulasan, jering, mangga harum manis, mangga cukanan dan mangga madu,” katanya.

Mereka yang berminat mendapatkan pokok klon dan nadir boleh menghubungi Othman melalui Facebook Rio Gemilang.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) Mohd Norfaizal Ghazalli, berkata setakat ini sebanyak 143 spesies pokok nadir yang dikumpulkan untuk pemuliharaan.

Beliau berkata, pihaknya menyemai benih dan menanam buah dan langkah berkenaan mungkin dapat menyelamatkan buah-buahan itu daripada terus pupus serta lenyap sebagai khazanah warisan.

“Buah nadir bukan sahaja sukar ditemui, malah bagi sesetengah spesies pengeluaran buahnya yang sangat bermusim menyebabkan ia kurang diminati.

“Beberapa usaha dilakukan MARDI dalam memulihara dan memelihara kemandirian spesies buah nadir terus terjamin.

“Antaranya dengan melakukan pemuliharaan in-situ dan ex-situ di genebank MARDI yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Mohd Norfaizal, walaupun pokok nadir ini kurang nilai komersialnya, ada beberapa nurseri yang berminat untuk menjadikan pokok nadir ini sebagai penghias landskap.

“Pokok beruas antara contoh untuk dijadikan landskap yang menarik. Keunikan pokok beruas kini mendapat sambutan yang menggalakkan kerana pokoknya yang rendang dan dapat membentuk landskap menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 5:40 AM