ASMADI dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah mendera anak tiri perempuannya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kategori lembam menggunakan wayar dan penyangkut baju.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, Asmadi Mohd Rani, 36, dari Kampung Tanjung Ketom Serada, di sini mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia sembilan tahun menganiayainya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Taman Selasih, Kampung Padang Landak, Jertih jam 10 malam pada 26 April 2016.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Minhad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 7:23 PM